Wednesday, September 22, 2010

Pengenalan

Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan.Pada awalnya, Jafari (1977)mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran.Seterusnya, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.” Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan secara khususnya WTO atau World Tourism Organization merujuk kepada, “Aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya.” Definisi WTO ini secara langsung membawa kepada pengertian apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan antarabangsa, pelancongan dalaman, pelancongan domestik dan pelancongan kebangsaan.Selain itu,McIntosh dan rakan-rakan(1995) mengatakan bahawa pelancongan adalah suatu fenomena dan hubungan yang wujud akibat daripada interaksi di antara pelancong, ahli perniagaan, kerajaan dan komuniti selaku tuan rumah dalam proses menarik pelancong dan pelawat asing.” Secara tidak langsung, definisi ini menjelaskan pelancongan adalah lawatan atau pengembaraan ke suatu tempat lain dalam tempoh semalam, bertujuan berhibur, berehat, berniaga dan sebagainya.Definisi ini juga menekankan wujudnya empat elemen utama dalam pengertian pelancongan iaitu:

1. Pelancong: Mereka yang keluar ke suatu destinasi lain bagi
beberapa tujuan.

2. Perniagaan: Mereka yang terlibat dengan membekalkan
barangan ataupun perkhidmatan dalam industri pelancongan di
samping memenuhi permintaan pelancong.

3. Kerajaan: Mereka yang terlibat dalam memenuhi ekonomi
sama ada berbentuk pendapatan tuan rumah ataupun
pendapatan hasil daripada kedatangan pelancong.

4. Tuan rumah: Mereka yang terlibat secara langsung dengan
destinasi terpilih di samping menjaga budaya masyarakat
destinasi itu.

Tempat-tempat menarik untuk melancong

Pulau Langkawi terletak di utara Selat Melaka di selatan Laut Andaman berhampiran sempadan antara Malaysia dan Thailand. Beberapa kilometer jarak ke utara pulau Thai iaitu Ko Tarutao. Bandar utama gugusan pulau terletak di pulau utama iaitu Kuah yang merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia.Pulau Langkawi ini yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia.

Antara tempat menarik di Pulau Langkawi:
-Dataran Helang
-Kampung Kristal
-Gunung Mat Chingchang
-Pekan Kuah
-Pulau Dayang Bunting
-Pulau Rebak
-Makam Mahsuri




  • Negeri Melaka

Tempat menarik seterusnya ialah Melaka.Negeri Melaka terletak di pantai barat daya Semenanjung Malaysia, serta bertentangan dengan Sumatera. Berkeluasan 1,650 kilometer persegi, ia bersempadankan Negeri Sembilan di utara dan Johor di timur. Pulau Besar, Melaka juga termasuk dalam sempadan negeri. Negeri Melaka juga dikenali sebagai Melaka negeri bersejarah atau negeri Hang Tuah.Negeri Melaka telah mengamalkan slogan "Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia" di mana Melaka kaya dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah.

Antara tempat bersejarah di Melaka:
-Villa Sentosa
-Tanjong Tuan
-Kota St. John
-Dataran Portugis
-Kampung Chitty
-Masjid Selat
-Kampung Semabok


Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan dalam sektor pelancongan

Antara faktor yang mempengaruhi perkembangan dalam sektor pelancongan ialah peningkatan infrastruktur atau akses dalam sesebuah negara.Ini adalah untuk menampung pelancong yang banyak dari negara asing, kerajaan Asia Tenggara telah berusaha
untuk meningkatkan taraf infrastruktur di negara masing-masing.Sebagai contohnya negara Malaysia telah menbina tapak kapal terbang KLIA yang mewah supaya dapat menarik
pelancong asing. Negara Kemboja dan Thailand juga berusaha menstabilkan keselamatan destinasi pelancongan mereka seperti di Angkor Wat dan Bangkok dengan mewujudkan pondok balai polis dan rangkaian polis yang lagi kemas dan mudah untuk pelancong dari negara asing.

Faktor yang seterusnya ialah penstabilan politik.Negara yang selalu menghadapi masalah politik yang tidak stabil seperti di Negara Indonesia dan Negara Thailand harus mengambil tindakan yang secepat mungkin supaya tidak mempengaruhi
industri pelancongan negara mereka.Hal ini demikian kerana politik yang tidak stabil akan menjejaskan imej negara. Para pelancong yang berkurangan akan mengurangkan pendapatan lumayan dan seterusnya mempengaruhi pendapatan penduduk tempatan.Para pelancong dari luar negara akan mempunyai rasa ketakutan dan tidak ingin melancong ke negara tersebut.Dengan kata lain, perkembangan pelancongan memberi serba sedikit tekanan kepada kerajaan supaya berusaha menstabilkan keadaan politik di
negara tersebut. Hal ini disebabkan industri ini akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara.

Tuesday, September 21, 2010

Kepentingan Pelancongan

Dari segi ekonomi,sektor pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita.Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.

Di samping itu,sektor pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Oeh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap negara kita.

Dari segi politik,sektor pelancongan dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia.Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam Minum Air”.

Langkah-langkah memajukan sektor pelancongan di Malaysia

Langkah pertama yang boleh dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong adalah dengan mengadakan prasarana pelancongan yang selesa, jimat, mencukupi dan mudah. Penyediaan hotel, chalet, tandas, pengangkutan, bekalan air dan elektrik adalah penting untuk pembangunan industri pelancongan. Kerap berlaku pelancong terkandas atau terlewat sampai ke destinasi akibat masalah pengangkutan, misalnya untuk ke Taman Negara dan lain-lain destinasi di pedalaman. Kerap berlaku juga masalah tandas yang terhad dan berbau busuk, selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini.
Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia.

Langkah seterusnya yang boleh diambil ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Kementerian Pelancongan boleh mengadakan kempen ini di dalam atau di luar negeri. Pusat-pusat penerangan pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara harus ditambah. Ini bertujuan mendedahkan keindahan alam semula jadi dan keunikan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini kepada masyarakat luar. Manakala pelancong dalam negara pula boleh ditarik dengan mengadakan kempen-kempen pelancongan menerusi media ataupun risalah.

Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.

Penutup

Secara kesimpulannya,industri pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan.Industri pelancongan telah mengalami pembangunan yang menggalakkan dan menyumbang kepada pendapatan tukaran asing yang tinggi serta menjana perniagaan baru dan peluang pekerjaan.Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana tak kenal maka tak cinta.