Tuesday, September 21, 2010

Kepentingan Pelancongan

Dari segi ekonomi,sektor pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita.Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.

Di samping itu,sektor pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Oeh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap negara kita.

Dari segi politik,sektor pelancongan dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia.Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam Minum Air”.

2 comments: