Tuesday, September 21, 2010

Langkah-langkah memajukan sektor pelancongan di Malaysia

Langkah pertama yang boleh dilakukan untuk menarik kedatangan pelancong adalah dengan mengadakan prasarana pelancongan yang selesa, jimat, mencukupi dan mudah. Penyediaan hotel, chalet, tandas, pengangkutan, bekalan air dan elektrik adalah penting untuk pembangunan industri pelancongan. Kerap berlaku pelancong terkandas atau terlewat sampai ke destinasi akibat masalah pengangkutan, misalnya untuk ke Taman Negara dan lain-lain destinasi di pedalaman. Kerap berlaku juga masalah tandas yang terhad dan berbau busuk, selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini.
Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia.

Langkah seterusnya yang boleh diambil ialah mengadakan kempen-kempen dan promosi pelancongan. Kementerian Pelancongan boleh mengadakan kempen ini di dalam atau di luar negeri. Pusat-pusat penerangan pelancongan serta rombongan-rombongan kebudayaan dan kesenian ke luar negara harus ditambah. Ini bertujuan mendedahkan keindahan alam semula jadi dan keunikan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini kepada masyarakat luar. Manakala pelancong dalam negara pula boleh ditarik dengan mengadakan kempen-kempen pelancongan menerusi media ataupun risalah.

Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.

1 comment: